Penentuan Benefisiari bagi Manfaat Takaful Berasaskan Konsep ʻUmrā dan Ruqbā: Penelitian dari Sudut Fiqh

  • Mohd Kamil Ahmad
Keywords: ʻUmrā, Ruqbā, Hibah Bersyarat, Takaful, Manfaat Takaful

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk meneliti kesesuaian penggunaan konsep ʻumrā dan ruqbā sebagai
asas kepada hibah bersyarat dalam menentukan benefisiari bagi manfaat takaful, sebagaimana
yang terkandung di dalam Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam oleh Majlis Penasihat
Syariah Bank Negara Malaysia dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Persoalan yang
ditimbulkan ialah: Adakah penggunaan konsep ruqbā sebagai asas kepada hibah bersyarat
adalah tepat memandangkan status manfaat takaful sebagai harta milik peserta masih lagi
samar? Melalui kaedah deskriptif dan analisis teks berasaskan pendekatan fiqh perbandingan
mazhab, kajian ini meneliti realiti sebenar manfaat takaful dan memperhalusi perbahasan
fuqaha mengenai ʻumrā dan ruqbā bagi menjelaskan kesesuaian penggunaan konsep ini sebagai
asas pengurusan manfaat takaful menggunakan hibah bersyarat. Kajian ini mendapati bahawa
sifat manfaat takaful yang belum wujud dan tidak mampu dimanfaatkan semasa hibah bersyarat
dibuat menjadikan penggunaan ruqbā sebagai asas pertimbangan bagi hibah bersyarat ini tidak
tepat. Ini berikutan, perbahasan fuqaha mengenai ʻumrā dan ruqbā adalah mengenai
pemindahan hak milik yang dilakukan ke atas sesuatu harta yang telah wujud dan boleh
dimanfaatkan semasa akad tersebut dibuat. Begitu juga, sebahagian fuqaha yang mengharuskan
ʻumrā dan juga ruqbā serta menyatakan bahawa syarat yang terkandung di dalam keduanya
sebagai harus, asas bagi pendapat mereka adalah; ʻumrā dan ruqbā merupakan akad yang
menyebabkan pemindahan hak milik ke atas manfaat sesuatu harta seperti ʻāriyah, dan
bukannya fizikal harta tersebut, yang membawa maksud bahawa harta yang dihibahkan telah
wujud dan sedia untuk dimanfaatkan.

Published
2018-10-21
How to Cite
Ahmad, M. K. (2018). Penentuan Benefisiari bagi Manfaat Takaful Berasaskan Konsep ʻUmrā dan Ruqbā: Penelitian dari Sudut Fiqh. International Online Journal of Language, Communication, and Humanities, 1(1), 14-31. Retrieved from http://insaniah.umk.edu.my/journal/index.php/insaniah/article/view/8
Section
Articles